Sunday, September 20, 2009

Bangunan Baru

Assalamualaikum warahmatullah..

Berikut adalah gambar gambar keadaan rumah yang baru diperolehi oleh Maahad. Banyak kerja kerja senggaraan perlu dilakukan sebelum boleh digunakan untuk tujuan pengajian kelak insyaALLAH..


Bahagian ruang utama rumah. Masih terdapat barang barang yang tak diperlukan dalam rumah ini (ketika gambar diambil) yang perlu dibuang. Kelihatannya tangga untuk ke tingkat atas dan juga pintu ke ruang dapur. Bahagian syiling ada terdapat kebocoran yang perlu ditangani dan dibaiki.



Terdapat dua buah bangsal kecil di tepi rumah ini. Mungkin untuk kegunaan meletak peralatan kebun. Mungkin juga tempat sembahan pemilik rumah ini dahulunya. Bangsal ini akan dirobohkan. Kelihatan jalan ke bahagian belakang agak semak sebelum ini.



Syiling pecah di bahagian tangga menuju ke tingkat atas. Bumbung rumah ini perlu dibuat sengaraan bagi mengelak kebocoran yang lebih besar berlaku di masa hadapan.


Operasi pembersihan kawasan sedang dijalankan. Kawasan berumput ini akan disimen kelak bagi mengelak berlakunya becak dan lecah dalam kawasan Maahad. UNtuk makluman, tanahnya adalah tanah jenis gambut dan lembut.



Pandangan dari bucu pagar, porch dan keadaan pondok wakaf di bangunan sewaan Mahad sekarang (di bangunan sebelah). Rumput juga telah dipotong untuk tindakan selanjutnya.


Gambar close-up kebocoran di syiling pada tingkat bawah bangunan.



Bahagian belakang rumah. Banyak nyamuk di sini! Kelihatannya berkongsi dinding pemisah dengan bangunan sewaan Maahad sekarang. InsyaALLAH, satu pintu akan ditebuk bagi menghubungkan bahagian dapur kedua bangunan ini kelak.



Keadaan atap yang uzur dan mereput. Juga jenang tingkap juga mereput.


Atap dan syiling bahagian belakang mereput.


Gambar dari seberang jalan hadapan Maahad sekarang ini. Kini, kedua dua bangunan akan dimanfaatkan untuk tujuan pengajian Kitab ALLAH iaitulah Al-Qur'an. Bacaan ayat ayat suci akan berkumandang dari dinihari hingga lewat malam di sini. Syukur pada ALLAH dan terima kasih pada semua yang sudi berkorban wang, masa, harta serta mendo'akan kejayaan Maahad Al-Ansori ini. Maahad Al-Ansori, milik kita semua umat Islam.

InsyaALLAH, kelak akan kami paparkan keperluan barang barang seperti lampu, kipas angin, peralatan makan, dan lain lain untuk memberi peluang kepada tuan puan yang mahu mewakafkan peralatan tersebut untuk kegunaan Maahad. Tuan puan boleh menyumbang ke akaun atas tujuan wakaf berkenaan dan memaklumkan kepada kami melalui emel atau telefon tentang tujuan sumbangan tersebut. Semoga dalam terang malam anak anak membaca Al-Qur'an kelak, ada sahamnya untuk tuan puan yang berkorban.

Untuk Elektrik dan Air, belum lagi disambungkan semula ke bangunan ini. InsyaALLAH kelak bila telah disambungkan semula, akan dipaparkan no bil utiliti di web ini untuk memudahkan mereka yang mahu membayarkan bil elektrik dan air kegunaan Maahad. Buat masa ini, no bil bangunan sewaan Maahad masih yang sama dan dipaparkan pada sebelah kanan web ini.

Tuesday, September 8, 2009

Pembangunan Maahad Fasa 1

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Bersempena dengan bulan penuh barokah ini, ingin disampaikan bahawa Fasa 1 utk rancangan Pembangunan Maahad telah berjaya dicapai dengan izinNya.

Walaupun kutipan dana dari korban dan infaq umat belum mencukupi dan tak sampai separuh daripada objektif/bajet Fasa satu (RM250,000), namun ALLAH telah membuat keputusanNya untuk mengabulkan dan merealisasikan Fasa 1 ini.

Pada 31 Julai 2009, pihak Majlis Agama dalam mesyuaratnya telah meluluskan permohonan pihak Maahad untuk tujuan ini. Keputusannya telah dicapai dan pihak Majlis telah membeli bangunan tersebut dan kemudiannya diwakafkan kepada Maahad untuk dimanfaatkan sebagai bangunan Maahad Tahfiz Al-Qur'an dan Hadith Al-Ansori.

Perkara ini lambat diumumkan lantaran pihak Maahad menantikan keputusan pihak penjual samada interest/riba yang dikenakan (selepas tarikh akhir 31 Julai) adakah dituntut ataupun tidak. Sekiranya dituntut maka Maahad tidak lagi berminat untuk meneruskan pembelian ini dan membatalkan perjanjian walaupun berhadapan kemungkinan wang deposit hangus. Ini adalah kerana Maahad tidak mahu melibatkan diri dalam perkara yang haram. ALLAH Maha Kuasa dan Dia menentukan segalanya. Pihak penjual bersetuju untuk mengenepikan riba tersebut dan menerima harga jualan sahaja sepenuhnya! Saya percaya ini juga berkat doa anak anak, ibubapa dan guru serta seluruh Umat Islam yang prihatin atas perjuangan ini...Alhamdulillah! Fasa 1 tercapai akhirnya!

Sekarang kerja kerja memecah pagar simen telahpun dijalankan dan dipasang pagar sliding untuk menghubungkan antara dua bangunan Maahad tersebut. Rancangan untuk pengisian program bangunan (keduanya) belum lagi diputuskan samada untuk membuka pengambilan anak anak Hafizah pula, ataupun membuka kepada anak anak remaja lelaki. Kedua dua kategori ini akan dipisahkan kepada 2 bangunan sedia ada sekarang iaitu bangunan wakaf Majlis Agama (yg baru diperolehi) dan bangunan sewaan Maahad sekarang ini.

Perkara ini tertangguh dulu kerana ada individu lain yang mahu mewakafkan bangunan rumah teres dua pintu kepada Maahad. Tapi lokasinya di Teluk Intan Perak. Perundingan sedang dijalankan dengan pewakaf insyaALLAH.

Sumbangan korban dan infaq tuan puan yg mulia sepanjang kempen perlaksanaan Fasa 1 ini akan kami gunakan untuk baikpulih dan senggaraan bangunan ke dua Maahad ini. Banyak kerja kerja senggaraan akan dilakukan insyaALLAH. Dengan izinNya nanti akan kami paparkan kemajuan projek senggaraan bangunan tersebut untuk makluman semua umat islam insyaALLAH. Selain itu, ianya juga akan digunakan untuk tujuan pembangunan Maahad yang lainnya yang bakal dirangka. (selain dari Pelan Pembangunan Utama, Fasa 1 hingga 7)

Apapun, Fasa satu telah berjaya terlaksana dan kita boleh tumpukan pada Pelan Pembangunan Fasa 2 pula selepas ini insyaALLAH. Pada tuan puan yg telah berkorban utk menjayakan pelan ini, mudah mudahan ALLAH terima korban tuan puan. InsyaALLAH, ganjarannya telahpun tersedia di sana untuk tuan puan semua. Doakan kejayaan kami, kejayaan Maahad ini adalah kejayaan Umat Islam ini seluruhnya jua!!

Untuk itu, maka dengan izinNya, maka sekarang ini sebarang korban dan infaq serta zakat adalah ditumpukan untuk mencapai target FASA DUA bagi Pelan Pembangunan Maahad insyaALLAH!

Wassalamualaikum warahmatullah.