Tuesday, September 8, 2009

Pembangunan Maahad Fasa 1

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Bersempena dengan bulan penuh barokah ini, ingin disampaikan bahawa Fasa 1 utk rancangan Pembangunan Maahad telah berjaya dicapai dengan izinNya.

Walaupun kutipan dana dari korban dan infaq umat belum mencukupi dan tak sampai separuh daripada objektif/bajet Fasa satu (RM250,000), namun ALLAH telah membuat keputusanNya untuk mengabulkan dan merealisasikan Fasa 1 ini.

Pada 31 Julai 2009, pihak Majlis Agama dalam mesyuaratnya telah meluluskan permohonan pihak Maahad untuk tujuan ini. Keputusannya telah dicapai dan pihak Majlis telah membeli bangunan tersebut dan kemudiannya diwakafkan kepada Maahad untuk dimanfaatkan sebagai bangunan Maahad Tahfiz Al-Qur'an dan Hadith Al-Ansori.

Perkara ini lambat diumumkan lantaran pihak Maahad menantikan keputusan pihak penjual samada interest/riba yang dikenakan (selepas tarikh akhir 31 Julai) adakah dituntut ataupun tidak. Sekiranya dituntut maka Maahad tidak lagi berminat untuk meneruskan pembelian ini dan membatalkan perjanjian walaupun berhadapan kemungkinan wang deposit hangus. Ini adalah kerana Maahad tidak mahu melibatkan diri dalam perkara yang haram. ALLAH Maha Kuasa dan Dia menentukan segalanya. Pihak penjual bersetuju untuk mengenepikan riba tersebut dan menerima harga jualan sahaja sepenuhnya! Saya percaya ini juga berkat doa anak anak, ibubapa dan guru serta seluruh Umat Islam yang prihatin atas perjuangan ini...Alhamdulillah! Fasa 1 tercapai akhirnya!

Sekarang kerja kerja memecah pagar simen telahpun dijalankan dan dipasang pagar sliding untuk menghubungkan antara dua bangunan Maahad tersebut. Rancangan untuk pengisian program bangunan (keduanya) belum lagi diputuskan samada untuk membuka pengambilan anak anak Hafizah pula, ataupun membuka kepada anak anak remaja lelaki. Kedua dua kategori ini akan dipisahkan kepada 2 bangunan sedia ada sekarang iaitu bangunan wakaf Majlis Agama (yg baru diperolehi) dan bangunan sewaan Maahad sekarang ini.

Perkara ini tertangguh dulu kerana ada individu lain yang mahu mewakafkan bangunan rumah teres dua pintu kepada Maahad. Tapi lokasinya di Teluk Intan Perak. Perundingan sedang dijalankan dengan pewakaf insyaALLAH.

Sumbangan korban dan infaq tuan puan yg mulia sepanjang kempen perlaksanaan Fasa 1 ini akan kami gunakan untuk baikpulih dan senggaraan bangunan ke dua Maahad ini. Banyak kerja kerja senggaraan akan dilakukan insyaALLAH. Dengan izinNya nanti akan kami paparkan kemajuan projek senggaraan bangunan tersebut untuk makluman semua umat islam insyaALLAH. Selain itu, ianya juga akan digunakan untuk tujuan pembangunan Maahad yang lainnya yang bakal dirangka. (selain dari Pelan Pembangunan Utama, Fasa 1 hingga 7)

Apapun, Fasa satu telah berjaya terlaksana dan kita boleh tumpukan pada Pelan Pembangunan Fasa 2 pula selepas ini insyaALLAH. Pada tuan puan yg telah berkorban utk menjayakan pelan ini, mudah mudahan ALLAH terima korban tuan puan. InsyaALLAH, ganjarannya telahpun tersedia di sana untuk tuan puan semua. Doakan kejayaan kami, kejayaan Maahad ini adalah kejayaan Umat Islam ini seluruhnya jua!!

Untuk itu, maka dengan izinNya, maka sekarang ini sebarang korban dan infaq serta zakat adalah ditumpukan untuk mencapai target FASA DUA bagi Pelan Pembangunan Maahad insyaALLAH!

Wassalamualaikum warahmatullah.

0 comments: